Assalamu'alaikum wbt..
Puji-pujian kepada Allah dan selawat serta salam buat Rasulullah, keluarga baginda dan para sahabat Baginda.
Wahai Manusia Bertaqwalah kamu kepada Allah moga-moga kamu berjaya.
Al-quran adalah satu kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW. Al-Quran bukan sahaja sebagai Mu’jizat Al-Kubra yakni yang Teragung yang dikurniakan kepada Baginda Rasul SAW bahkan ianya adalah dustur yakni Perlembagaan bagi semua umat Manusia khususnya Umat Islam.
Padanya ada segala tunjuk ajar dan pedoman, di dalamnya juga ada cerita dan ada juga pensyariatan, ada perintah dan ada juga tegahan. Justeru itu mimbar pada hari ini akan mengajak sidang jemaah sekalian untuk merenung dan berfikir sejenak tentang satu tajuk yang sedang hangat di perbahaskan masa ini iaitu “JUDI DAN PENGHARAMANYA DI DALAM ISLAM”
Hadirin sekalian.
Dewasa ini kita umat islam di Malaysia hangat memperkatakan tentang judi bola yang mana dikatakan telah dilesenkan untuk dibenarkan dilaksanakan semasa berlangsungnya pertandingan akhir Bola Sepak Dunia..dengan alasan untuk mengawal daripada timbulnya banyak pusat-pusat judi haram dan dapat memantau aktiviti-aktiviti mereka..dan dalam masa yang sama dapat memungut cukai daripada hasil perjudian tersebut.
Namun..ianya tidaklah seindah khabar kerana ianya dilesenkan dinegara yang majoritinya umat islam..adakah kerana DESAKAN segelintir bangsa kafir yang ingin menaruhkan harta mereka dalam perjudian tersebut kita terus melesenkannya..??Penentangan demi penentangan telah dibuat bagi mendesak pihak Kerajaan yang dihormati untuk menimbang kembali dan menarik kembali lesen tersebut..
Kaedah fiqah menyebut:
Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus
Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum
Rujukan kitab : Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah)
judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)
Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 219 yang berbunyi:
Maksudnya:
“Mereka bertanya kepada kamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah olehmu, pada keduanya terdapat dosa yang besar dab beberapa manfaat bagi manusia. Dan dosa keduanya adalah lebih besar daripada menfaatnya”.
Firman Allah di dalam Surah Al-Maidah ayat 90-91:
Maksudnya: ““Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?”
ُHadirin Sidang Jemaah Sekalin..
Kita dapat melihat banyakkan keburukan ataupun gejala yang negatif yang terhasil daripada aktiviti perjudian..samada ianya dilesenkan seperti Sport TOTO, MAGNUM, yang berpaksikan nombor-nombor ramalan sehingga ramai masyarakat Islam khususnya dan bukan Islam amnya terjebak sehingga menyebabkan banyakknya masalah yang berlaku samada pada diri sendiri,keluarga ataupun masyarakat..
Imanilah Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Imam Malik, Abu Dawud dan Ibnu Majah:
““Sesiapa yang bermain judi sesungguhnya dia telah menderhakai Allah Taala”
Mimbar ingin memetik pandangan daripada Sohibu Samahah Tan Sri Dato Mufti Kerajaan Negeri Perak yang menyatakan bahawa Judi tetap haram walaupun ianya dilesenkan pandangan beliau bukanlah gharib atau asing kerana memang telah sepakat para ulama' salaf dan khalaf bahawa hukum judi adalah haram bahkan sesiapa yang menafikanya boleh dihukumkan kafir.
Sabda Nabi SAW : “Apa-apa yang Halal itu jelas dan yang haram itu jelas “ hadith riwayat Bukhari Dan Muslim”
Hadirin Sekalian:
Judi diharamkan oleh Islam dan sebarang bentuk penglibatan dengan unsur judi dalam apa-apa aktiviti muamalah perlu dihentikan segera. Ini kerana harta yang diperolehi daripada sumber judi adalah haram tidak kira bagaimana bentuk perjudian tersebut.
Boleh disebutkan sekali lagi di sini bahawa antara sebab pengharaman judi kepada umat manusia khususnya Umat Islam , adalah kerana terdapat unsur penindasan, penipuan, kebergantungan kepada nasib, mencetus permusuhan dan boleh menjejaskan ekonomi individu, masyarakat dan Negara
Hadirin Sekalian,
Saya Menyeru kepada sidang Jemaah sekalian agar mengingati bahawa janji Allah adalah benar dan semua yang diperingati oleh Allah dan Rasul dari sudut arahan dan tegahan adalah membawa manafaat kepada umat Manusia..
Dan mimbar menyeru kepada pihak Kerajaan agar dapat menimbang kembali pelesenan tersebut agar ianya tidak menjadi barah dan virus yang sehebat H1N1 yang akan membinasakan bukan sahaja pemain-pemain judi tegar akan tetapi merebak kepada keluarga mereka,Masyarakat dan akhirnya Negara. Kita tidak mahu Negara yang bermajoritikan umat islam ini digelar Negara Judi Bola..
(khutbah ke2)
Hadirin sekalian.
Rentetan daripada khutah yang pertama, Di dalam al-Quran juga terkandung banyak cerita dan pengkhabaran-pngkhabaran yang sangat berguna kepada kita umat islam sebagai pedoman. Sebagai contoh, kisah umat Nabi Musa yang menderhaka kepada Allah, Kisah umat Nabi Nuh yang di tenggelamkan Allah kerana mengingkari perintah Allah, kisan Luqmanul hakim yang bijaksana dan lain lagi.
Semuanya itu diturunkan oleh Allah SWT bukanlah sekadar untuk di baca dan di lagukan sahaja, bahkan ianya ada maksud yang paling besar iaitu adalah untuk umat manusia khususnya umat islam mengambil apa sahaja yang terkandung di dalamnya sebagai tempat rujukan yang utama dan bukanlah hanya memilih-milih perkara yakni perintah dan larangan yang mudah-mudah dan meninggalkan perintah dan larangan yang susah.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab ayat 36:
Maksudnya: “dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata.
Justeru itu hadirin sekalian..bangkitlah dan sedarlah..jangan tidur lagi!!khususnya golongan ibubapa..didiklah anak-anak kita mengenal Al-Quran dan bukan sahaja di baca bahkan di amalkan sebagai pedoman hidup. Kerana Allah adalah Sang Pencipta kita dan Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat hambanya. Manakala kita pula selaku hambanya yang mutlak, janganlah mengangkat sembah derhaka kepada perintah Allah dengan memberikan pelbagai alasan yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.
تمت
Tiada ulasan:
Catat Ulasan