من التابعين

Isnin, 6 Disember 2010

Tazkirah Tahun Baru Hijri 1423 (كل عام وأنتم بخير)

Assalamu'alaikum wbt..



Segala puji bagi Allah SWT yang menurunkan kepada para hambaNya kitab Al-Quran yang tiada padanya keraguan atau kesesatan melainkan orang-orang yang mempelajarinya tanpa berguru dengan yang hak. Selawat dan Salam ke atas Nabi kita dan Tuan kita Nabi Muhammad SAW, doa yang menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, juga ke atas sekelian ahli keluarga, para sahabat dan sekelian pengikut Baginda SAW sehingga ke hari pembalasan kelak.


Para pembaca yang budiman,

Suka saya merujuk kepada bulan Zulhijjah 1431 Hijrah yang hari ini berada di hari terakhir menurut laman web Moonsighting, satu laman web yang saya kira berotoriti dalam menentukan kedudukan semasa bulan pada masa kini. Laman web ini telah disertai oleh ramai yang memiliki ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam ilmu falak dan melihat anak bulan. Menurut laman ini, anak bulan Muharram 1432 Hijrah sudah boleh kelihatan pada hari ini 5hb Disember 2010 pada pukul 5:37 minit petang waktu Greenwich.

Justeru, bagi negara-negara selepas 0 darjah, yang waktu terbenam mataharinya atau Maghribnya adalah sekitar waktu tersebut, maka sudah masuk 1 Muharram 1432 Hijrah pada masa tersebut dan bolehlah mengira tarikh tersebut bermula 6hb Disember 2010 Masehi. Manakala negara yang terkebelakang daripadanya, bolehlah mengira tarikh tersebut bermula 7hb Disember 2010 Masehi.

Pun begitu, saya menulis dengan agak tergesa-gesa ini kerana bimbang rakan-rakan yang melazimkan membaca dan mengamalkan doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah  ini terlepas pandang akan tarikh yang besar dalam sejarah Islam dan kehidupan sekelian umat Islam ini. Saya juga bersegera menyebarkannya kerana menurut amalan Salaf As-Soleh dalam Islam, adalah disunatkan berdoa pada akhir dan awal tahun Hijrah masing-masing pada selepas solat Asar dan sebaik sahaja masuk waktu Maghrib yang berlaku pada sehari sebelumnya. Ini adalah lazim, sama seperti kita bersolat Tarawikh pada malam 1 Ramadhan dan menyambut perayaan bermula daripada waktu Maghrib atau waktu matahari terbenam sebaik sahaja anak bulan telah disahkan kelihatan atau kiraan hisab telah digenapkan 30 hari kerana anak bulan tidak dapat dilihat.

Saya mengatakan ia adalah menurut amalan Salaf As-Soleh dalam Islam, setelah merujuk Kitab Tuhfatul Auton Wal Ikhwan karya tulisan Al-Marhum Sahibus Samahah, Mantan Mufti Besar Pertama Kerajaan Negeri Sembilan, Sheikh Haji Ahmad Bin Sheikh Haji Muhammad Said yang menulis bahawa amalan ini adalah benar amalan yang diambil daripada Salaf As-Solihin.

Menurutnya dalam kitab tersebut lagi, perkara ini telah diriwayatkan oleh Al-Allamah Ad-Dirobi di dalam kitab fawaidnya yang bersambung kepada Al-Allamah Jamaluddin cucu kepada Ibnu Al-Jawzi daripada As-Sheikh Umar "Ibnu Qudamah Al-Muqaddisi" (ada yang menyebut Al-Maqdasi) akan doa awal tahun dan akhir tahun ini daripada matan-matannnya sampailah kepada fadhilat-fadhilatnya. Kitab ini pada saya adalah sahih. Allahu Wa Rasuluhu A'lam.

Doa Akhir Tahun Hijrah adalah seperti berikut:
Manakala Doa Awal Tahun Hijrah adalah seperti berikut:
Seperti yang telah dinyatakan, Doa Akhir Tahun Hijrah diatas dibaca pada akhir solat Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib  pada akhir bulan Zulhijjah dengan jumlah ulangan sebanyak 3 kali. Dikatakan fadhilatnya bahawa sesiapa yang membaca doa ini, syaitan akan berkata: "Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun".

Manakala Doa Awal Tahun Hijrah pula dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Dikatakan fadhilatnya bahawa sesiapa yang membaca doa ini, syaitan akan berkata: "Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan".

Kedua-dua doa ini dan kelebihannya juga ada dipaparkan di laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di alamat berikut: http://www.islam.gov.my/program/doamaalhijrah.html

Para pembaca yang dikasihi sekelian,

Akhir kalam, sebelum kita berhenti di sini dan bertemu lagi di lain lembaran tahun Hijrah, marilah kita sama-sama membanyakkan istighfar, bertaubat, berzikir, berselawat dan berdoa, semoga kita semua berada dalam redha Allah SWT dan syafaat Nabi Muhammad SAW.

Dan peringatan biasa daripada saya: Semoga kita insaf akan segala kelalaian, kesilapan dan kesalahan kita dan senatiasa bermuhasabah dan memperbaiki diri kita! Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada lalai dan leka, juga daripada maksiat dan berdosa. Senantiasalah kita bertaubat kembali kepadaNya dan mengajak sekelian ahli keluarga serta masyarakat kita bersama-sama bertaubat kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat senantiasa memeriksa diri dan perbuatan mereka, kemudiannya memperbaiki diri, keluarga dan masyarakatnya, serta memastikan segalanya senantiasa berada di jalan yang lurus lagi diredhai Allah SWT.

terima kasih kepada penulis makalah ini.

Tiada ulasan: